Minggu, 15 Desember 2013

Kurang 8 banduan di Kelantan kembali ke penjara


Sekadar gambar hiasan.

KOTA BHARU- Kurang lapan peratus daripada jumlah banduan yang dibebaskan dari beberapa pusat tahanan di Kelantan setelah selesai menjalani hukuman, kembali semula ke penjara kerana terlibat lagi dengan jenayah.

Pengarah Pusat Pemulihan Akhlak Machang, SAC Muhammad Zuki Muhammad Zain berkata ia adalah hasil kejayaan program dan aktiviti yang dilaksanakan Jabatan Penjara berkaitan pemulihan penghuni di luar tembok penjara.

Beliau berkata pihaknya berjaya memastikan kadar residevis atau berulang masuk penjara tidak melebihi 10 peratus iaitu 7.97 peratus pada 2012, manakala dari Januari hingga Julai tahun ini, ia pada paras 7.96 peratus.

"Antaranya pelaksanaan Sistem Parol sejak 2008 yang seramai 6,672 Orang Di Parol (ODP) yang menjalani pelepasan secara perintah parol, hanya 0.6 peratus kembali melakukan kesalahan dan kembali ke penjara.

"Bagi Pusat Kehadiran Wajib (PKW) yang dilaksanakan pada 2010, seramai 1,079 pesalah yang menjalani hukuman, tiada yang melakukan kesalahan dan masuk semula ke penjara," katanya ketika berucap pada Program Mesej Dari Penjara Peringkat Zon Timur di sini, hari ini.

Program yang dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha itu turut dihadiri Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) Tan Sri Lee Lam Thye dan Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim.

Muhammad Zuki berkata bagi program Perkhidmatan Rumah Perantaraan yang diperkenalkan pada 2011, seramai 771 bekas banduan telah menikmati kemudahan tersebut dan 95 peratus telah mendapat pekerjaan dengan tiada seorang pun kembali semula ke penjara.

Selain itu, program Pemulihan Pemasyarakatan yang dilaksanakan di Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas pula, seramai 944 Orang Di Selia (ODS) telah selesai menjalani pemulihan dengan hanya seorang daripada mereka kembali ke penjara.

"Kejayaan mengekalkan kadar peratusan yang rendah di Kelantan adalah satu petanda positif untuk kita terus berusaha agar segala perancangan pemulihan penghuni yang diatur berjalan dengan jayanya.

"Justeru, saya berharap agar masyarakat memberi peluang kedua kepada bekas penghuni ini dan memberi sokongan  kepada mereka untuk membangunkan potensi diri dengan menggunakan ilmu yang dipelajari sepanjang tempoh hukuman,"  katanya.  - Bernama


Like the Post? Do share with your Friends.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

IconIconIconFollow Me on Pinterest